Seni cetakan hasil inspirasi sebuah kehidupan

Oleh ANI AWANG

BIDANG seni cetakan mempunyai potensi dan masa depan yang tersendiri di negara ini. Bidang tersebut amat jarang diterokai oleh pelukis di negara ini berbanding dengan para pelukis Barat yang telah maju dalam seni itu.

Hakikat ini diakui sendiri oleh pelukis Izan Tahir.

Menurut beliau, seni cetakan mempunyai potensi untuk dikembangkan di negara ini kerana pelukis di negara ini masih kurang mendapat pendedahan tentang seni cetakan yang terkini.

“Penggiat seni cetakan di beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) terbukti telah maju dalam bidang itu.

“Kemajuan yang mereka capai dan kesungguhan mereka mempelajari teknik tersebut amat besar faedahnya kepada penggiat seni.

“Walaupun di negara ini ada juga pelukis yang menceburi bidang seni tersebut namun keupayaan mereka masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

“Oleh itu, pelukis perlu mempelajari pelbagai teknik cetakan terkini bagi membolehkan seni itu dimajukan di negara ini,” kata Izan ketika ditemui pada pameran solo Recollection di Wei-Ling Gallery, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pameran itu sedang berlangsung hingga 28 Jun ini.

Sebanyak 34 buah karya Izan dipamerkan yang memperlihatkan pelbagai teknik seni cetakan yang kreatif.

Izan yakin pameran itu mampu mendedahkan khalayak mengenai kerja-kerja seni cetakan bentuk tradisional seperti kepingan aluminium, cetakan kanvas dan kertas.

Berpengalaman terlibat dalam seni itu selama lebih 30 tahun di luar negara, Izan menampilkan teknik itu sebagai satu pernyataan kepada penemuan semula seni terkini dalam karya-karyanya.

“Saya menggunakan sepenuhnya pengalaman ketika berhijrah di negara Barat untuk melahirkan persepsi baru ketika berkarya.

“Bagi saya, pengalaman seperti kelahiran dan kematian, kehilangan harta benda, detik-detik cinta dan kenangan-kenangan telah menjadi inspirasi dalam melahirkan karya seni yang bermutu,” tambahnya.

Menurut Izan, kesemua karyanya itu telah mengingatkannya kepada khazanah-khazanah yang hilang.

Sebagai contoh, karya Time Out of Time melakarkan pelbagai sejarah perit dan manis dalam kehidupannya.

Karya-karya seperti Garden II, Mind Map I, Mind Map II, Wall Rock Back dan Wall I membuktikan kreativiti Izan mempunyai nilai seni yang tersendiri.

Pelukis kelahiran Kuala Lumpur ini berpengalaman luas dalam bidang seni.

Dia telah mengadakan beberapa pameran di United Kingdom, Perancis dan Afrika Selatan sejak 1991 hingga 1998.

Pamerannya yang berjudul In Print pertama kali dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Kuala Lumpur pada tahun ini.